“RAHSIA”. Itulah sepotong ayat yang dilemparkan pemain pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin selepas ditanyakan apakah yang dikatakan oleh ketua jurulatih, Fandi Ahmad ketika rehat separuh masa pertama yang menyaksikan skuad Tok Gajah bangkit pada separuh masa kedua.
Sri Pahang mempamerkan kebangkitan menarik pada babak kedua selepas ketinggalan 0-2 kepada Kuching City FC dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad.
Adam menyumbang gol pertama sebelum Manuel Hidalgo memastikan Pahang tidak berputih mata dengan gol penyamaan dalam perlawanan yang diganggu beberapa keputusan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Syukur dapat ‘comeback’ pada babak kedua selepas kami melihat apa yang perlu diperbaiki sebagai satu pasukan. Selepas lama tidak beraksi di Liga Super, saya gembira dapat menjaringkan gol dan terima kasih atas kepercayaan jurulatih dan bantuan rakan-rakan kerana gol itu jadi pemangkin semangat buat kami untuk bangkit,” katanya.
Adam menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2024-25 dan kini menjadi pilihan barisan kejurulatihan untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan Tok Gajah.
Kebangkitan ini turut mendapat pujian penolong jurulatih Sri Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang menyatakan apa yang diperkatakan ketika rehat berjaya dilaksanakan para pemain untuk membawa pulang satu mata.
Sri Pahang juga akan menggunakan waktu rehat tambahan yang dimiliki untuk kembali berlatih dan memperbaiki segala kelemahan sebelum bertemu Penang FC untuk aksi Piala FA di Temerloh selepas berakhir kalendar antarabangsa Fifa.