FOTO : PERAK FC
GABUNGAN Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menilai dua kekalahan berturut-turut saingan Liga Super 2024-25 sedikit sebanyak menunjukkan kepincangan pasukan Perak FC musim ini.
Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim berkata, dalam dunia bola sepak moden, kecepatan dan ketepatan dalam membentuk skuad yang mantap adalah kunci kejayaan, tetapi kehilangan enam mata memang sukar untuk ditelan.
“Walaupun rata-rata pemain telah membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan pramusim, namun kemampuan itu gagal diterjemahkan dalam perlawanan sebenar.
“Malah, Yusri Che Lah, yang telah bersama pasukan dalam tempoh yang agak lama, sepatutnya lebih faham perjalanan liga dan kekuatan pasukan lain,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Bagaimanapun, menurut Hakimi, keputusan untuk menggantikan Yusri terletak kepada kebijaksanaan pengurusan The Bos Gaurus dan menasihatkan tidak melakukan secara terburu-buru.
“Penyokong dan peminat memang mengharapkan kemenangan, namun mungkin kita boleh memberi lagi Yusri peluang untuk tiga perlawanan akan datang. Kita faham, mungkin juga belum tiba masanya untuk pasukan mencapai kemenangan sebelum ini,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN : Yusri pikul tanggungjawab kekalahan berganda Perak FC
Diminta mengulas dua pertemuan berdepan lawan lebih liat selepas ini, Hakimi percaya dalam bola sepak, segala kemungkinan boleh berlaku.
“Kita sedar bahawa Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC adalah dua pasukan yang serba lengkap. Dengan dua kekalahan sebelum ini, pemain boleh mengambil iktibar untuk bangkit dari kekalahan.
“Penaja XOX pasti mempunyai perancangan tersendiri, dan kita tidak mahu mereka menanggung kerugian dari pembelian pemain import yang hanya indah khabar dari rupa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hakimi menegaskan pemberian petunjuk prestasi utama (KPI) kepada bahagian scouting yang sama pentingnya dengan pemberian KPI kepada pemain dan pegawai pasukan, kerana scouting ejen juga memainkan peranan penting dalam pembentukan pasukan.
“Ini hanyalah pendapat dan pandangan dari kami, semoga ianya berguna buat pengurusan dan pasukan,” katanya yakin Perak FC boleh keluar dari zon bawahan liga kerana perjalanan Liga Malaysia baru bermula.
Musim ini Perak menjadi antara pasukan yang paling rancak membawa masuk ramai pemain baharu bagi mengisi kelompongan dalam pasukan.
Pasukan yang popular dengan jolokan Kejor Yeop Kejor itu mengikat sembilan pemain baharu termasuk empat pemain import.