PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira apabila kembali semula menerajui Harimau Selatan untuk musim 2024-25 namun pada masa yang sama sedar akan cabaran yang menanti dirinya terutama daripada pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail.
Bidoglio yang membawa JDT memenangi kejuaraan treble – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2022 kembali menerajui pasukan menggantikan Esteban Solari selepas diletakkan sebagai Pengarah Teknikal kelab musim lalu.
Jurulatih asal Venezuela itu mengakui dia berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor itu yang padanya sentiasa mempunyai kata-kata yang tepat untuk memotivasikan dirinya serta para pemain untuk menjadi lebih baik berbanding musim sebelumnya.
“Saya gembira kerana kembali menjadi jurulatih dan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan ini. Tahun lalu saya mempunyai tugasan yang besar di dalam kelab sebagai Pengarah Teknikal tetapi kini saya kembali sebagai jurulatih yang mana ia adalah ‘passion’ saya.
“Fokus kami musim ini adalah untuk menjadi lebih baik dan kompetitif terutama di peringkat antarabangsa dan cuba memenanginya. Oleh itu, kami perlu bekerja ke arah itu dan kami mempunyai masa serta skuad yang bagus.
“Bos kami (Tunku Ismail) sentiasa mempunyai kata-kata yang tepat untuk memotivasikan kami dan beri apa yang kami mahukan dan atas sebab itu kami perlu perbaiki persembahan dan menjadi lebih baik berbanding aksi sebelum ini,” katanya.
Antara perkara yang akan dilakukan Hector bersama-sama barisan kejurulatihannya adalah memperbaiki peluang menerusi ‘set piece‘ selain lebih kompak di dalam padang.
“Kami perlu lebih kompak ketika bergerak tanpa bola dan perlu lebih ‘wide’ apabila memegang bola dan perkara ini kami perlu bekerja lebih keras ketika latihan untuk memastikan ianya berhasil ketika perlawanan,” jelasnya.
JDT berjaya meraih tiga mata penuh di Iskandar Puteri atas kemenangan keatas Negeri Sembilan FC dan kini bersedia untuk menghadapi Kuala Lumpur City FC pada Sabtu di Cheras.