PERHATIAN kesemua peminat futsal tanah air sudah pasti akan terarah ke Stadium Tertutup Pasir Gudang apabila dua nama besar Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) ‐ Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang Rangers akan berentap bagi merebut tangga teratas liga.
JDT di bawah kendalian Juan Antonio Miguel Garcia pastinya mahu menebus kehampaan dikecewakan dua kali oleh skuad bimbingan Gerard Casas musim lalu dan aksi pada Sabtu pastinya menarik perhatian banyak pihak.
Keadaan dingin di stadium khusus untuk futsal itu dijangka hangat dengan kedua-dua pasukan sudah tentu mahu membuktikan siapa lebih jaguh untuk menerajui takhta liga selain mempunyai ‘bragging rights‘ untuk suatu tempoh yang agak panjang.
JDT kini sedang mendahului saingan dengan 15 mata apabila kekal tanpa kalah dalam lima perlawanan manakala Pahang Rangers di tangga kedua dengan 13 mata selepas meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri.
Pengendali Pahang Rangers, Gerard Casas mengakui bukan tugas mudah buat anak-anak buahnya meskipun bergelar juara berganda musim lalu kerana pasukannya kini dibarisi muka-muka baharu namun dia menganggap tidak ada tekanan buat mereka.
“Tekanan bukan pada pihak kami sebaliknya kepada JDT dan kami hanya akan buat apa yang sudah dirancang dan lakukannya dengan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya selepas kemenangan keatas Kuala Lumpur City.
Meskipun menang selesa 6-2, Gerard nyata bimbang dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemainnya kerana padanya hanya penjaga gol sahaja yang menyelamatkan mereka dan ini bukanlah perkara yang baik buat pasukan.
Pahang Rangers sudah tentu akan menyandarkan harapan pada ayam tambatannya, Felipe de Souza yang sudah menjaringkan 10 gol serta Murillo Carlos Saad yang sudah meledak tujuh jaringan.
Pastinya satu aksi menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan dan Pasir Gudang dijangka dibanjiri ribuan penyokong yang ingin menyaksikan pertemuan epik ini.