DESAS-desus di kalangan rakan-rakan media di Terengganu tentang ‘perpindahan’ Nik Akif Syahiran Nik Mat akhirnya terjawab setelah satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh pengurusan Terengganu Football Club (TFC) petang Sabtu.
Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas dalam satu kenyataan menjelaskan Nik Akif dilepaskan secara pinjaman kepada pasukan Kelantan United FC(KU FC) selepas rundingan di saat akhir di antara kedua-dua pihak mendapat persetujuan.
Tonggak tengah Harimau Malaya Bawah 23 tahun(B-23) kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu akan menyarung jersi pasukan KU FC sehingga berakhirnya kancah Liga M pada November ini dan setelah itu kembali semula bersama TFC.
Mohd Sabri Abas juga menjelaskan bahawa mengikut perancangan terakhir bersama Terengganu FC (TFC)buat pemain berusia 23 tahun ini adalah untuk bersama Terengganu FC II(TFC II) bagi meneruskan baki kempen saingan Liga Perdana musim ini.
Malah pemain berketinggian 1.68 meter ini juga turut mendapat rebutan untuk dikaitkan bersama pasukan Penang FC, Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC sewaktu jendela perpindahan pemain dibuka pada 28 Mei lalu. Namun tiada sebarang persetujuan berjaya dicapai untuk memberi kelebihan buat TFC Sdn Bhd sekaligus menutup peluang buat ketiga-tiga pasukan tersebut.
“Kita harapkan Nik Akif gembira bersama KUFC selain mengharapkan pemain itu dapat membantu skuad berkenaan dalam kempen Liga Perdana dan juga Piala Malaysia musim ini,” ujar Mohd Sabri Abas ketika dihubungi media.