SHEVON Lai menyuarakan rasa lega, apabila meraih kemenangan pertama selepas berkahwin dengan Goh Soon Huat sehinggakan berasa lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya di Masters Malaysia 2024.

Menurutnya, sejak bergelar suami isteri awal bulan ini, pemikiran mereka agak terganggu selepas tersingkir awal pada Terbuka Thailand minggu lalu.

“Ya kemenangan pertama kami hari ini, selepas berkahwin… saya rasa macam ada semangat baru, terutamanya selepas kami kalah awal pada kejohanan pertama selepas bergelar suami isteri di Thailand.

“Persembahan kami minggu lalu agak mengganggu pemikiran.

“Tetapi dengan kemenangan ini, kami rasa nak lakukan lebih baik kerana kami boleh tampilkan prestasi yang lebih berkualiti,” kata Shevon, selepas dia dan Soon Huat memenangi perlawanan pusingan pertama Masters Malaysia.

Goh Soon Huat-Shevon Lai gembira berjaya mencapai kemenangan pertama di gelanggang Masters Malaysia, selepas bergelar suami isteri.

Pilihan keempat itu berjaya mengatasi pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 21-19, 21-17.

Kemenangan itu adalah yang pertama dicapai mereka ke atas Sung Hyun-Hye Won daripada tiga pertemuan.

“Perlawanan ini, saya dapat lihat gandingan saya lebih bersedia menghadapi lawan berbanding dua pertemuan sebelumnya, saya sangat gembira kami mengharunginya bersama.

“Ia memberi keyakinan baharu dan kami lebih positif kerana masih mampu menewaskan lawan yang sering mengatasi kami,” katanya sambil terharu dengan sokongan padu penyokong yang hadir ke Axiata Arena.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berpeluang memburu kejuaraan yang kali terakhir mereka menangi pada 2017.

Shevon yakin jumlah kehadiran penonton pada pusingan kedua esok (Khamis) tidak akan sama seperti hari ini tetapi dia yakin, peminat badminton akan terus memberi sokongan termasuk menonton perlawanan melalui pelbagai platform sewaktu berkerja.

Turut mencapai kemenangan, juara 2017, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berjaya mengatasi Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand, 21-16, 17-21, 21-19.

Percubaan Choong Hon Jian-Go Pei Kee ke pusingan kedua tidak menjadi, apabila tunduk kepada gandingan Korea.

“Secara keseluruhannya ok tetapi di hujung perlawanan ketika mata penting, kami buat kesilapan tetapi yang penting menang.

“Selepas lebih sebulan tak beraksi, memang agak perlahan, tetapi pemain lain juga sama.

“Soal mahu menang gelaran sekali lagi tu memang ada tetapi kami mahu selesaikan satu persatu lawan,” kata Pei Jing.

Sementara itu, beregu muda kebangsaan, Choong Hon Jian-Go Pei Kee gagal menyaingi kehebatan Wang Chan-Shin Seung Chan, apabila tunduk 19-21, 16-21.