FOTO : Faris Ramli
PENYERANG Singapura, Faris Ramli tidak menganggap pertembungan dengan Malaysia dalam aksi peringkat Kumpulan A Piala Asean 2024 sebagai medan untuk membalas dendam atas kekalahan pada edisi lalu.
Pemain Tampines Rovers itu berkata, skuad Singapura kini dalam proses pembentukan bersama ketua jurulatih Tsutomu Ogura yang dilantik mengendalikan skuad The Lions itu pada Februari lalu.
“Kami dapat merasakan suasana yang berbeza dengan pasukan sekarang menerusi pemilihan pemain oleh Ogura. Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang menarik. Semua pemain sedar mengenai kepentingan dan memahami apa yang diperlukan oleh jurulatih dari segi permainan.
“Saya sendiri tidak sabar kerana kejohanan ini amat dinanti-nantikan oleh semua orang. Semua tahu kepentingan Piala Asean ini dan untuk kami dapat bersaing dengan negara-negara jiran adalah sesuatu yang berbeza berbanding kejohanan lain,” katanya sebagai dipetik dalam Straits Times.com.
Singapura juara empat kali Piala Asean yang sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF gagal melepasi halangan peringkat kumpulan pada 2022 selepas tewas 4-1 kepada skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Faris menjaringkan gol tunggal buat pasukan pelawat itu.
Selain Singapura dan Malaysia, turut berentap dalam Kumpulan A Piala Asean 2024 adalah juara bertahan Thailand, Kemboja serta pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste di peringkat kumpulan.
Bagaimanapun pada kejohanan kali ini yang bakal bermula pada 23 November depan, Faris mengakui Singapura bakal berdepan masalah yang sama seperti Malaysia untuk menurunkan pemain terbaik.
Ini kerana, Ogura kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat pemain dari kelab Lion City Sailors yang bakal beraksi dalam AFC Champions League 2 (ACL 2)dan BG Tampines Rovers yang mengesahkan tempat di pusingan kelayakan play-off.
“Tiada pengesahan lagi setakat ini. Apa yang kami harap adalah semua berjalan lancar dan kami akan dapat mencari jalan penyelesaian, jika tidak ia bergantung kepada pemilihan jurulatih bagi Piala Asean ini,” katanya.