SELEPAS harapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengubah sasaran utama tahun ini, mahu memburu kelayakan ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China, Disember depan.
Ketika ini, Kian Meng-Pei Jing yang berada pada ranking ke-23 kelayakan ke WTF, namun masih banyak peluang untuk mengumpul mata dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang.
Beregu nombor 24 dunia itu terlepas peluang untuk mengutip mata maksimum apabila tersingkir dari kejohanan Masters Malaysia selepas tewas 19-21, 14-21 kepada rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di suku akhir.
“Kita sudah berikan apa yang kita ada pada perlawanan hari ini (semalam), jadi sangat gembira dengan prestasi ditampilkan. Saya harap kami boleh kekalkan prestasi ini minggu depan (Terbuka Singapura).
“Sekarang kita akan pilih kejohanan dan kebanyakan yang besar-besar untuk kejar ke WTF dan naikkan semula ranking. Buat masa ini, kita akan menyertai lebih kurang 10 kejohanan,” kata Kian Meng, ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Meskipun tidak dapat melayakkan diri ke separuh akhir Malaysia Masters, namun prestasi itu boleh dianggap baik kerana dapat memperbaiki pencapaian musim lalu di mana mereka sekadar menamatkan saingan di pusingan pertama.
Sementara itu, Pei Jing mengakui, prestasi dia dan Kian Meng sepanjang saingan musim ini tidak mencapai standard dimahukan, sekali gus perlu bekerja keras untuk kembali mempamerkan aksi sebenar.
“Setakat ini, keputusan yang kami catat bukanlah yang terbaik, memang ada penurunan. Fokus kami sekarang hanya satu, iaitu untuk menaikkan prestasi biarpun sudah tidak layak ke Sukan Olimpik,” ujar Pei Jing.