PENAUNG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengakui sedih kekalahan pertama dialami skuad Kenari dalam saingan pembukaan Kumpulan G, Piala AFC 2022 pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ia satu proses mematangkan para pemain yang majoritinya dibarisi skuad muda yang baru dibentuk musim ini.

“Pengalaman bermain di Piala AFC penting untuk Kedah kerana kebanyakan pemain adalah muda-muda dan pasukan yang baru dibentuk oleh jurulatih.

“Perlawanan malam itu, walaupun kita kalah tapi secara keseluruhan back four, midfield dan serangan ada banyak penambahan dan konteks pasukan separuh masa kedua kita dapat kuasai begitu baik.

“Walaupun kita sedih dengan kekalahan ia adalah satu proses penting mematangkan pemain kita.

“Kami harap dan kami rasa Kedah boleh memenangi dua baki perlawanan,” katanya ketika ditemui Flash Sukan di tempat penginapan skuad KDA FC di Kuta, Bali pada Sabtu.

Ketika ini, Mohd Daud, 58 dikenali sebagai tokoh kewangan dan usahawan dalam pelbagai bidang termasuk memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Selain itu, beliau turut pernah menerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2014 selain terbabit dalam banyak aktiviti masyarakat di Kedah dan di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau kekal optimis pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak masih berpeluang melayakkan diri ke peringkat seterusnya berdasarkan kualiti pemain import yang bersamanya di Bali.

“InshaAllah, Kedah boleh melayakkan diri dan kita ada harapan melangkah ke peringkat seterusnya berdasarkan pencapaian semasa semua pasukan yang bertanding di Zon ASEAN.

“Saya berharap peminat setia terus memberi sokongan dan semangat buat Kedah yang sedang berjuang di pentas Asia,” ujarnya lagi.

Tuan rumah, Bali United bersama kelab Kemboja, Visakha FC kini mengumpul tiga mata selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi sulung untuk berada di kedudukan pertama dan kedua.

Manakala, selepas aksi dengan wakil Filipina, Kaya FC pada Isnin, anak didik Aidil Sharin akan menutup tirai kumpulan bertemu Visakha Khamis ini.