PENUMPUAN terhadap latihan selama kira-kira sebulan serta jurulatih mengambil peranan sebagai penyerap tekanan pemain, bagai belum cukup untuk beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah menzahirkan prestasi terbaik di laman sendiri, selepas tersingkir di separuh akhir Masters Malaysia, pada Sabtu.
Menjadi pasangan kedua terbaik dunia yang beraksi di kejohanan berstatus Super 500 itu sahaja, tidak dapat menjami mereka ke final, apatah lagi mahu menjadi pencabar pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pasangan ranking ke-13 dunia itu, ternyata gagal beraksi pada tahap prestasi sebenar apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasangan ranking ke-26 dari Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 16-21, 11-21 pada aksi di Axiata Arena.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan gandingan Korea, berjaya membalas dendam dek kekalahan kepada pasangan negara di Masters Kumamota di Jepun, November tahun lalu.
“Bukan keputusan yang kami mahukan dan tidak seperti yang kami jangka. Lawan kami bermain sangat baik dan pukulan-pukulan mereka memberi tekanan kepada kami.
“Jadi, kami perlu perbaiki perkara ini dan perkemaskan strategi permainan kami menerusi perbincangan antara kami dan jurulatih untuk menghadapi kejohanan seterusnya,” kata Thinaah.
Sementara itu, Pearly, berkata meskipun tewas tetapi masih ada perkara positif yang mana tahap komunikasi antara mereka di gelanggang kini lebih baik.
Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi tahun lalu apabila mara ke pentas final sebelum terpaksa akur dengan gelaran naib juara.
Pearly-Thinaah selepas ini akan mengalihkan fokus menghadapi Terbuka Singapura yang bermula Selasa ini diikuti Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu depan.
“Kami hanya ada beberapa hari ini sebelum Terbuka Singapura. Jadi, kami harap boleh tampil aksi yang lebih konsisten,” kata Pearly.