SERAMAI 27 pelajar termasuk 18 daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP), iaitu program usahasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PERODUA turut hadir memberi sokongan buat pemain-pemain Malaysia yang berentap di Perodua Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena.
BTDP, sebuah program yang bermula sejak 2018, bertujuan mencungkil bakat di kalangan murid diperingkat sekolah rendah dengan misi untuk mereka dapat mewakili negara suatu hari nanti.
Pelajar ini terdiri daripada peserta BTDP yang diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) manakala sembilan daripadanya terpilih ke sekolah berkenaan menerusi kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia.
Peserta program, Muhammad Luqman Hakim Yusof Daneel, 17, berkata, impiannya ingin menjadi seperti legenda negara, Rashid Sidek ataupun bekas juara dunia lima kali, Lin Dan dari China.
“Saya pernah menjalani latihan di bawah kendalian Rashid Sidek pada usia 12 tahun sebelum terpilih menyertai BTDP dan ke SSBJ, oleh kerana itu saya ingin mencontohi beliau,” katanya yang berasal dari Selangor.
Sementara bagi Datu Anif Isaac Datu Asrah, impiannya adalah untuk menjadi seperti bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
“Perodua banyak membantu kami terutama dalam menaja kos latihan, keperluan serta pertandingan di luar negara sekaligus membuka laluan buat kami mencipta nama sebagai pemain badminton yang terbaik,” kata murid berusia 17 tahun yang berasal dari Sabah itu.
Dania Sofea Zaidi, 17, berasal dari Johor berkata, ini adalah peluang keduanya menyaksikan Perodua Malaysia Masters.
“Semangat juang saya semakin kuat setiap kali menyaksikan kem negara beraksi di sini. Impian saya ialah untuk menjadi seperti jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei,” katanya.
Kesemua peserta BTDP itu juga diberikan peluang bersama-sama pengunjung bertemu dengan beregu kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei pada sesi Temu Mesra di ruang pameran Perodua. Ketika ini BTDP dengan 140 jurulatih ini melatih seramai 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.
Kebanyakkan anak-anak ini adalah berasal daripada golongan keluarga berpendapatan sederhana yang mana Perodua dan KPM mengambil inisiatif mengubah kehidupan anak-anak ini dengan menghidupkan impian dan membuka laluan buat mereka mewakili sekolah, negeri dan mungkin satu hari nanti mewakili Malaysia.