RENTAK juara gagal diteruskan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, sekali gus memanjangkan lagi kemarau gelaran sulung di laman sendiri.
Pemain nombor 10 dunia itu, akur kepada kehebatan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dalam pertarungan tiga set pada aksi final Masters Malaysia, sebentar tadi.
Pada aksi di Axiata Arena itu, Zii Jia bagaikan dipukau dengan kehebatan Axelsen apabila tewas 6-21 di set pertama.
Bagaimanapun, Zii Jia mencetuskan kebangkitan di set kedua menerusi pertarungan dengan aksi lebih bertenaga untuk 22-20 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.
Aksi set penentuan bagaimanapun sekali lagi menyaksikan dominasi Axelsen biarpun Zii Jia cuba memberi tentangan pada awal permainan dengan jaguh Denmark keluar selaku pemenang menerusi kemenangan 21-13.
“Tiada perubahan besar dalam permainan saya, saya hanya cuba memberikan apa yang saya ada, tetapi ktia semua tahu jika saya dalam keadaan cergas sekalipun, belum tentu dapat mengatasi dia.
“Dia cukup berpengalaman, apa yang terjadi hari ini, saya sudah buat yang terbaik dan memang tidak puas hati tetapi saya boleh terima,” kata Zii Jia, selepas tamat perlawanan.
Menurutnya, sepanjang dua minggu ini, dia beroleh pengalaman berharga dan mahu membawa rentak positif ini pada kejohanan berikutnya sehingga ke Olimpik Paris.
Kekalahan Zii Jia itu bermakna, kemarau Malaysia untuk menjuarai acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2016, terus berpanjangan.
“Saya rasa masih on track dan saya masih mencari prestasi yang stabil kerana ini bukan kali pertama saya menyertai kejohanan berturut-turut.”
Ia juga menyaksikan Zii Jia gagal dalam misi untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu.
Susulan kemenangan pada aksi final hari ini, Axelsen berjaya merangkul gelaran sulungnya musim ini dan yang kedua di Masters Malaysia selepas turut menjuarai edisi 2018.
Selaku juara, Axelsen membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$31,500 (RM148,191) manakala Zii Jia yang terpaksa berpuas hati dengan naib juara AS$15,960 (RM75,083).