PENYERANG PDRM FC, Ifedayo Olusegun tidak memikirkan lagi untuk memecah rekod penjaring terbanyak dalam era Liga Super.
Penyerang dari Nigeria itu telah menjaringkan gol ke-85 dalam Liga Super Malaysia pada Sabtu lalu, meletakkannya sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman bersama Ashari Samsudin yang juga menjaringkan 85 gol.
Indra Putra Mahayuddin masih lagi memegang rekod sebagai penjaring terbanyak dalam era Liga Super dengan 106 gol.
“Saya telah berpeluang bermain dengan pemain-pemain yang sangat istimewa. Saya berterima kasih kepada semua pemain yang saya pernah bermain dan membantu saya untuk dapatkan 85 gol.
“Anda tahu, kebanyakan gol saya adalah seperti gol ‘tap-in’. Jadi bukan saya menggelecek tiga, empat pemain untuk menjaringkan gol.
“Jadi saya rasa semua pujian harus diberikan kepada pemain yang pernah saya main bersama. Saya sangat bertuah kerana dapat bermain bersama rakan-rakan yang membantu saya. Ia adalah satu perkara yang baik untuk saya terus bekerja keras kerana ia sangat sukar untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.
Ditanya jika beliau mampu untuk mengejar rekod Indra Putra dengan menjaringkan 21 gol musim ini, beliau berkata itu bukan matlamat utamanya.
Sebaliknya beliau ingin membina kesefahaman bersama pemain-pemain lain dalam pasukan The Cops.
“Saya mempunyai persefahaman dengan Bruno (Suzuki) tetapi saya masih perlu bekerja keras dengan beberapa pemain lain untuk mendapatkan persefahaman itu.
“Kedudukan saya apabila mereka mempunyai bola, adakah saya sepatutnya pergi untuk hantaran jauh atau hantaran pendek. Jadi saya masih cuba untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan saya dalam PDRM.
“Jadi saya rasa ini adalah perkara yang paling penting bagi saya. Itu yang saya usahakan sekarang,” ujarnya lagi.
Ifedayo Olusegun kini telah menjaringkan tiga gol bersama PDRM FC dan sedang memimpin carta penjaring terbanyak musim ini.