PENGURUSAN Selangor FC sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN) berkaitan tawaran yang diberikan badan itu untuk melakukan rehabilitasi sukan kepada pemain sayapnya, Faisal Halim.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon memberitahu perkara tersebut ketika ditemui media selepas aksi Selangor bertemu Negeri Sembilan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Awal bulan ini, seluruh Malaysia gempar apabila pemain berbakat itu disimbah cecair asid dalam satu insiden khianat pada sehingga terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Shah Alam.

Namun, Faisal sudah dibenarkan keluar dari hospital dan kini menjalani pemulihan di sebuah lokasi rahsia sebelum kembali menjalani latihan selepas luka yang dialaminya sembuh sepenuhnya dan mendapat kebenaran dari doktor.

Johan Kamal Hamidon sahkan Selangor sedia bekerjasama dengan ISN untuk pemulihan Faisal Halim

“Syukur, Faisal sudah keluar dari hospital dan dia memerlukan masa untuk lukanya sembuh sepenuhnya. Kami masih belum pasti seberapa segera dia boleh kembali menjalani latihan kerana dia perlu benar-benar sembuh terutama pada bahagian luka untuk mengelakkan jangkitan.

“Dia dibenarkan oleh doktor untuk keluar atas permintaannya selepas pihak hospital mendapati risiko jangkitan kuman sudah rendah tetapi dia masih perlukan sokongan untuk bergerak dan kami perlu sedikit masa untuk lakukan rehabilitasi sukan kepadanya.

“Buat masa ini, pihak kelab, Negeri Selangor serta Raja Muda Selangor telah beri komitmen penuh untuk pemulihan terbaik buat Faisal  dan kami sentiasa terbuka untuk jalinkan kerjasama dengan ISN kerana mereka mempunyai kepakaran yang kami tidak ada dan akan duduk berbincang apabila tiba masa yang sesuai,” jelasnya.

Solidariti yang ditunjukkan pemain-pemain kepada Faisal Halim

Dalam masa yang sama, Johan juga mengesahkan pihak kelab menyerahkan pada pihak polis tentang insiden pecah rumah yang melanda Khuzaimi Piee untuk memastikan motif sama ada dia berkait dengan insiden yang menimpa Faisal.