ADANYA pelapis-pelapis baharu di gimnasium telah menjadi tonik semangat buat Mohamad Aniq Kasdan untuk berlatih bersungguh-sungguh demi menggapai hasrat untuk mendapatkan pingat di sukan Olimpik sulungnya.
Aniq merupakan antara 18 atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024 dan kehadirannya sebagai atlet angkat berat ranking kelapan dunia itu nanti pasti bakal menambah kehangatan pada kejohanan yang bermula pada Julai depan.
Menurut Aniq, penambahan atlet atau ‘junior’ di gimnasium latihannya jelas menjadi pembakar semangat buat dirinya menghasilkan momentum cemerlang sekali gus menjadi contoh terbaik di hadapan pelapis baharu.
“Olimpik pertama bagi saya semestinya rasa mendebarkan kerana ini perlawanan terbesar di dunia. Jadi saya perlu siapkan mental dan setakat ini, persiapan saya semua bagus dan berjalan lancar.
“Tambah lagi dengan kemunculan pelapis baharu ini, saya sebagai seorang yang sudah layak ke Olimpik semestinya ingin bagi contoh terbaik kepada junior saya.
“Saya juga pernah ada di tempat mereka jadi tidak mustahil untuk mereka bergelar atlet Olimpik seterusnya. Impian mereka pun mahu menang Sukan Komanwel, menang Kejohanan Dunia selain pergi ke Olimpik jadi mereka perlu kejar cita-cita mereka daripada bawah,” kata Aniq ketika sesi ramah mesra atlet Olimpik di Hotel Hilton Petaling Jaya pada Isnin.
Tambah Aniq, dia berani untuk meletakkan sasaran nombor satu di Olimpik Paris supaya dapat aura yang lebih positif dan ‘mood’ yang lebih bersemangat untuk berlatih.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Aniq telah sah mendapatkan slot secara merit ke Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan saingan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir di Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand di kedudukan kelapan.