PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil berat tentang prestasi pengadil dan kepatuhan terhadap Protokol VAR Fifa dan Undang-undang Permainan Fifa 2024/2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S.Sivasundram berkata pelaksanaan teknologi VAR pada perlawanan awal Liga Super berjalan dengan lancar dimana para pengadil yang ditugaskan telah mengikut protokol yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
“Unit Pengadil FAM telah membuat analisa prestasi pengadil bagi 15 perlawanan yang telah menggunakan teknologi VAR di Liga Super bermula dari Hari Perlawanan 1 hingga Hari Perlawanan 3.
“Sebanyak 11 ‘On Field Review’ (OFR) telah dilakukan dengan purata OFR 0.73 satu perlawanan. Angka ini menunjukkan keberadaan semasa pemahaman protokol VAR yang dimiliki oleh pengadil-pengadil di Liga Malaysia.“
“OFR yang melebihi purata tiga dalam satu perlawanan akan memberi gambaran yang buruk kepada prestasi pengadil.
“Ini adalah penanda aras yang sedang digunakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Fifa bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi VAR. Purata tambahan masa bagi setiap perlawanan pula adalah sebanyak 9.94 minit,” katanya dalam kenyataan media.
Selain itu, FAM juga akan mengadakan latihan VAR bagi kelompok kedua bagi menambah bilangan pengadil VAR. Fasa latihan ini akan dimulakan pada Ogos hingga Disember 2024 dengan melibatkan 15 Pengadil, 15 Penolong Pengadil dan 10 Replay Operator yang akan dilatih sebagai pengadil VAR.
FAM turut akan membuat satu fasa latihan di Sabah pada 6 hingga 10 Jun inidengan menggunakan teknologi VAR Goal Sport bagi membolehkan teknologi VAR Goal Sport yang dibeli oleh pihak Sabah dapat digunakan pada perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Unit Pengadil FAM juga telah mengadakan Analisa Pasca Perlawanan bagi setiap hari perlawanan yang dimainkan dengan teknologi VAR.
Klip video yang dipilih adalah berkaitan dengan elemen pengukuhan dan pemurnian bagi membimbing para pengadil VAR.
Usaha ini perlu dilakukan kerana kemahiran dan keberadaan pengadil VAR merupakan elemen utama dalam pelaksanaan teknologi VAR di Liga Malaysia.