PEMAIN perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia enggan mengulas berkenaan komen dilontarkan legenda badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj kepadanya.

Selvaraj sebelum ini menyifatkan Zii Jia kurang semangat kenegaraan selepas menarik diri daripada beraksi pada temasya Sukan Komanwel Julai ini.

Jelas Zii Jia dia tidak berminat untuk membalas semula kenyataan James Selvaraj sambil mengambil sikap profesional untuk tidak mencampuri urusan tersebut sebaliknya hanya fokus kepada permainan.

“Saya rasa tentang isu ini mungkin ini kali terakhir untuk saya jelaskan. Bagi saya kalau sesetengah daripada anda menjangka saya akan lawan balik pasal isu ini, saya minta maaf, mungkin saya akan membuat anda berasa kecewa.

“Saya dah cakap saya nak jadi satu inspirasi untuk golongan remaja Malaysia juga, jadi pasal benda ini takkan ganggu sayalah, takkan beri kesan kepada saya untuk persiapan.

“Saya di sini sebagai pemain profesional, sebab saya nak jauhkan diri daripad benda ini semua. Saya nak fokus hanya untuk badminton, sekali lagi saya ulangi hanya untuk badminton,” ujar pemain berusia 24 tahun itu.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara memberi gambaran bahawa Terbuka Malaysia ini merupakan suasana terbaik yang bakal kita saksikan di laman sendiri setelah sukan negara terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Tambah Zii Jia, kehadiran penonton kebangsaan menyaksikan Terbuka Malaysia sehingga tiket hampir habis dijual memberi petanda positif kepada arena badminton negara.

“Saya rasa sudah dua tahun tidak main dekat sini, ia bagus untuk kembali bermain di Terbuka Malaysia. Angin memang tiap tiap tahun pun memang ada, memang agak mencabar untuk semua pemain.”Ia satu petanda baik untuk badminton Malaysia yang memberi sokongan kepada skuad negara. Saya akan cuba yang terbaik, diharapkan akan mendapat sesuatu daripada pertandingan ini,” jelasnya kepada media.

 

Pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu juga menjelaskan bahawa dia telah pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

Baginya, kalah atau menang adalah lumrah dalam badminton namun apa yang pasti dia akan memberikan aksi terbaik di pentas Terbuka Malaysia bermula 28 Jun ini.