PENYERANG Terengganu FC, Engku Nur Shakir Engku Yacob mahu merebut peluang yang ada dengan sebaiknya agar dapat menarik perhatian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk memilihnya nanti dalam senarai akhir pemain.

Ini merupakan debut Engku Nur Shakir ke kem latihan kebangsaan selepas memulakan karier profesional bola sepak pada 2020.

 

Zahfri Yahya dan Paulo Josue antara pemain bahagian serangan yang dipanggil ke kem latihan kebangsaan kali ini.

“Nak cakap terkejut itu ada sebab ini adalah panggilan pertama saya ke kem latihan kebangsaan. Kita tahu terdapat banyak pemain yang bagus tetapi saya terpilih jadi saya rasa bersyukur.

“Banyak juga kawan dalam pasukan beri nasihat, bagi semangat dan pesan supaya jangan malu-malu. Mereka juga pesan kepada saya untuk buat apa yang saya mampu dan bagi 100% untuk diri sendiri.

“Saya mahu berada dalam skuad kebangsaan dan saya akan bagi yang terbaik, apa yang coach Kim mahukan saya akan bagi 100 peratus,” katanya kepada media ketika sesi latihan hari kedua skuad Harimau Malaya di Wisma FAM pada Selasa.

“Saya datang sini bukan untuk latihan semata-mata, niat saya datang sini memang nak mengikut pasukan kebangsaan ke Kyrgyzstan.

“Posisi kegemaran bagi saya bahagian serangan, tetapi jika coach mahu letak dimana-mana posisi pun saya akan bersedia dan akan buat yang terbaik. Setakat hari pertama latihan masih lagi okay, cuma latihannya berintensiti tinggi kerana baharu hari pertama (semalam),” tambahnya lagi.

Skuad negara bakal mengharungi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun dan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 ini.