DENGAN masa yang semakin suntuk, rakyat Malaysia kini menantikan keajaiban daripada pihak kerajaan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai hak status siaran langsung Euro 2024.
Difahamkan bahawa salah satu syarikat gergasi telah menghantar surat tunjuk minat untuk menaja “air time” kejohanan Piala Eropah 2024 yang berlangsung di Jerman kepada pihak kerajaan.
Walau bagaimanapun, sumber FLASH SUKAN tidak mendapat kepastian kepada pihak mana surat tunjuk minat tersebut dihantar, sama ada Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi, atau pun melalui pihak ketiga (agen rasmi yang mengendalikan hak penyiaran Euro 2024).
Difahamkan lagi, pihak yang memegang hak penyiaran Euro 2024 semakin hampir untuk membuat keputusan dan tidak akan memberi hak penyiaran kepada Malaysia jika persetujuan tidak dicapai dalam masa terdekat.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan peminat bola sepak di Malaysia dapat menikmati perlawanan Euro 2024 secara langsung dan percuma. Namun, masa semakin suntuk dan keputusan perlu dibuat dengan segera. Kami menunggu kata putus,” jelas sumber itu.
Kejohanan Euro 2024 dijangka menarik minat berjuta-juta penonton di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, yang terkenal dengan jumlah peminat bola sepak yang besar.
Pihak Kerajaan diharap dapat mencapai persetujuan dengan pemegang hak penyiaran untuk memastikan peminat bola sepak tempatan tidak terlepas daripada menyaksikan kejohanan berprestij ini secara percuma di kaca TV mereka.