DEBARAN kian terasa, tiga hari lagi untuk skuad ragbi 15 sebelah (s) negara membuka tirai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dengan aksi penuh sengit iaitu menentang Korea Selatan bagi perlawanan pertama mereka.

Pastinya skuad kendalian Mohd Farid Syazwan Abu Bakar sudah lebih bersedia dan matang untuk bertemu Korea Selatan, terutama demi melunaskan hutang balas dendam kepada mereka setelah menjadi pasukan belasahan pada Divisyen Premier ARC musim yang lalu.

Kira-kira enam kem latihan telah dijalankan sebelum menghadapi kejohanan penting ini, semuanya bagi memastikan prestasi dan momentum para pemain sentiasa berada pada tahap terbaik dan memuaskan.

Bagi perlawanan pembukaan bersama Korea Selatan pada 2 Jun nanti, Malaysia perlu menang ke atas mereka untuk mencuri mata terawal sekali gus menjadikan pemangkin semangat untuk skuad negara meneruskan perjuangan di pentas ARC itu nanti.

Jadual perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan di ARC 2024.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman rasmi Kesatuan Ragbi Malaysia pada Rabu, pihaknya turut mengharapkan agar doa dan aura positif rakyat Malaysia dapat mengiringi para pemain yang akan bertarung di Incheon, Korea nanti.

“Kita doakan persembahan terbaik daripada pasukan kebangsaan dan membawa pulang cerita positif dari Incheon, Korea.

“Persiapan sudah dijalankan, tiba waktu menuai hasil pengorbanan. Selamat berjaya Bunga Raya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.