PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad meletakkan keyakinan tinggi terhadap pasukan ragbi 15 sebelah (15s) untuk membenam skuad Korea Selatan pada aksi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang berlangsung di Incheon, Korea pada 2 Jun nanti.

Hal ini kerana, anak buahnya pernah menjadi pasukan belasahan Korea Selatan 3-27 pada aksi Kejohanan ARC 2023. Maka ini merupakan detik sesuai buat Malaysia untuk mencapai kemenangan kepada Korea Selatan yang pastinya akan turun dengan angkuh untuk bertemu skuad negara.

Seperti misi serampang dua mata, Amir Amri turut mendedahkan sasaran utama pada ARC musim ini, iaitu setidaknya meraih satu kemenangan berharga dalam mana-mana perlawanan Kejohanan ARC yang akan membuka tirai Ahad ini.

Amir Amri Mohamad yakin Malaysia mampu beri saingan kepada Korea Selatan.

“Pasukan akan berlepas ke Korea pada 31 Mei nanti. Tahun ini kita sasar untuk menang satu perlawanan dan saya berharap agar KPI itu tercapai. Kerana kita lihat perjalanan latihan semua lancar dan tiada sebarang masalah.

“Walaupun kita sudah maklum kita tiada pemain naturalisasi, tetapi kita tetap berharap pasukan ini memberi persembahan terbaik dan dapat mengurangkan jurang gol. Saya juga pasti perlawanan nanti akan menjadi sengit.

“Untuk perlawanan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), kita juga mahukan kemenangan walaupun beraksi di Dubai (tempat mereka) nanti,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Memeterai Perjanjian antara Enervive Sports dan KRM.

Kesatuan Ragbi Malaysia dan Enervive Sports.

Dalam masa yang sama, Amir Amri turut menyatakan bahawa pengumuman barisan 23 pemain yang akan beraksi untuk Kejohanan ARC 2024 bakal diumumkan pada malam esok (Khamis).

Tiada khidmat pemain naturalisasi yang akan digunakan pada perlawanan berkenaan dan Amir berharap agar kesemua pemain yang diberi peluang nanti dapat menonjolkan aksi penuh cemerlang dan sekurang-kurangnya dapat memberi satu kemenangan buat Malaysia.

Skuad negara dijadualkan membuka kempen ARC 2024 dengan bertemu dengan pasukan Korea Selatan di Incheon pada 2 Jun, kemudian menerima kunjungan Hong Kong 8 Jun dan bertemu UAE 21 Jun di Dubai.