BAMBANG Pamungkas mengumumkan akan kembali menyertai pasukan Indonesia. Bagaimanapun, belum diketahui apakah peranan dan tanggungjawab baharunya dalam skuad Garuda.

“Hello… Saya Bambang Pamungkas dan saya akan kembali ke pasukan kebangsaan Indonesia sebagai…” kata Bambang dalam klip video pendek di Instastory peribadinya.

Bepe, nama panggilan Bambang, adalah antara pemain terbaik yang pernah dimiliki Indonesia. Legenda Persija Jakarta itu berkhidmat dalam pasukan Indonesia selama 12 tahun.

Debut Bambang bersama pasukan kebangsaan senior bermula pada 2 Julai 1999 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Lithuania.

Bambang yang ketika itu baru berusia 18 tahun berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2.

Ketika aktif bermain, Bambang dianggap memiliki tandukan bola yang luar biasa dan terkenal dengan ketajaman dalam kotak penalti.

Bambang merupakan antara pemegang rekod caps terbanyak dan gol terbanyak dalam pasukan Indonesia. Dia berjaya mengumpul 37 gol daripada keseluruhan 85 penampilan dalam skuad Garuda.

Pemain yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia bersama Selangor itu memutuskan untuk bersara daripada pasukan Indonesia pada 1 April 2013.

Bagaimanapun, Bambang meneruskan kariernya di Persija sehingga akhirnya menggantung but pada 2019.

Selepas bersara, Bambang berkhidmat sebagai pengurus Persija. Namun begitu, sejak kebelakangan ini dia sering muncul di kaca televisyen sebagai pengulas bola sepak terutama Liga 1 di Indonesia.