PASUKAN futsal Selangor FC diberi tamparan hebat dalam usaha mereka untuk mengejar pendahulu liga Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Johor Darul Ta’zim FC.
Ini disebabkan pasukan Gergasi Merah itu mengumumkan bahawa pemain import mereka, Matheus Vasconcelos atau dikenali sebagai Ceara tidak bersama pasukan untuk baki kempen MPFL musim ini.
Pemain import dari Brazil itu membuat keputusan tersebut dengan mengambil kira faktor termasuk masalah kecederaan serta faktor keluarga beliau.
“Atas pelbagai sebab terutama keluarga dan (masalah) kecederaan, Ceara akan meninggalkan kita dan bertolak pulang ke Brazil esok (hari ini).
“Kami sentiasa bersyukur memiliki anda dalam pasukan dan menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Kami sentiasa menyayangi anda.
“Ini satu keputusan sukar buat anda dan kami, kita memiliki memori indah bersama dan kita sentiasa menghargainya,” kata kelab itu menerusi hantaran dalam Instagram.
“Jaga diri tidak kira di mana saja anda berada, kami mendoakan keselamatan dan kesembuhan buat anda,” tambahnya lagi.
Ceara kemudiannya juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Selangor FC kerana banyak membantunya sepanjang bersama pasukan itu.
“Terima kasih banyak-banyak keluarga. Saya akan kembali secepat mungkin. Terima kasih atas segalanya dan saya akan sentiasa menyayangi Selangor,” katanya di ruang komen hantaran kelab itu.
Ceara antara pemain import pertama yang bermain dalam arena futsal negara selepas menyertai Selangor pada akhir tahun 2021.