PASUKAN gergasi Jerman, Bayern Munich telah mengumumkan Vincent Kompany sebagai pengurus menerusi satu keputusan mengejut awal pagi Rabu.

Bekas bintang Belgium berusia 38 tahun itu, yang sebelum ini gagal memastikan Burnley kekal di Liga Perdana, menandatangani kontrak tiga tahun di Allianz Arena.

Kebiasaannya mencari nama-nama besar, Bayern mencari selama berbulan-bulan tetapi tawaran mereka ditolak oleh beberapa calon selepas musim pertama tanpa trofi dalam tempoh 12 tahun.

Vincent Kompany telah membimbing Burnley sejak 2022. (Sumber Gambar: Getty Images)

Selepas gagal untuk memikat bos Bayer Leverkusen Xabi Alonso; jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann dan Ralf Rangnick dari Austria, Bayern cuba untuk mengekalkan Thomas Tuchel yang telah bersetuju pada Februari lalu untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas.

Tuchel bagaimanapun mengumumkan pada Mei dia ‘tidak boleh bersetuju dengan syarat’ untuk kekal bersama kelab dan akan ‘berpegang kepada perjanjian pada Februari’.

Bayern kemudian memutuskan untuk mendapatkan khidmat Kompany, mengambil risiko terhadap jurulatih kurang berpengalaman bagi satu daripada tugas paling besar dalam bola sepak.

Mampukah Harry Kane memenangi trofi dibawah bimbingan Vincent Kompany? (Sumber Gambar: Getty Images)

“Saya tidak sabar menantikan cabaran di Bayern. Ia satu penghormatan besar untuk dapat bekerja bersama kelab ini. Bayern adalah sebuah institusi dalam bola sepak antarabangsa

“Kini saya melihat kepada perkara asas iaitu bekerja dengan pemain, membina pasukan. Apabila asasnya betul, kejayaan akan menyusul,”kata Kompany dalam satu kenyataan.

Vincent Kompany sebelum ini pernah menjadi pengurus pasukan buat pasukan Belgium, Anderlecht sebelum menyertai Burnley pada 2022.