PEMAIN Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya mahu berikan yang terbaik dalam kem latihan kebangsaan kali ini bagi memastikan terpilih ke senarai terakhir Harimau Malaya.

Zhafri yang pernah beberapa kali dipanggil sebelum ini ke kem latihan kebangsaan namun masih belum berjaya untuk memikat hati ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

“Saya rasa berbangga untuk hadir ke kem latihan kebangsaan kali ini. Saya rasa ini peluang saya untuk beri yang terbaik agar dapat dipilih ke skuad kebangsaan nanti.

“Bila saya datang ke sini, saya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk buat yang terbaik untuk diri saya. Saya harapkan saya dapat kepercayaan daripada coach untuk masuk dalam senarai akhir pemain.

“Saya tak menafikan pemain-pemain yang cedera mempunyai pengalaman yang luas dalam skuad kebangsaan namun pada waktu yang sama ini adalah peluang untuk tunjukkan yang terbaik kepada diri sendiri dan kepada pasukan,” beliau berkata ketika ditemui media di Wisma FAM.

“Latihan yang diterapkan oleh coach Kim sama, cuma ada bahagian yang saya rasa baharu. Jadi ini adalah satu benda yang baik untuk pasukan kerana ia mungkin boleh menambah baik pemain-pemain baru serta yang lama.

“Semua beri 100 peratus fokus dalam latihan, coach juga ada memberitahu mengenai taktikal pasukan kepada pemain-pemain baru. Saya juga kena ingat balik apa yang coach pernah tunjuk sebelum ini jadi apabila saya ingat, saya mempunyai kelebihan untuk memahami apa yang coach mahukan.

“Saya pun dah berumur 30 tahun tapi saya serahkan kepada rezeki yang mendatang. Saya mengharapkan jika diberi peluang saya akan buat yang terbaik kepada pasukan kebangsaan,” ujarnya lagi.

Pemain berusia 29 tahun ini juga tidak kisah untuk bermain di bahagian tengah atau sayap jika diarahkan oleh Pan-gon kerana beliau mempunyai pengalaman untuk bermain di posisi tersebut.

Zhafri Yahya telah melakukan dua penampilan liga musim ini, dengan kesemua penampilannya bermula dari kesebelasan terbaik pasukan KL City FC.

Skuad negara bakal mengharungi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun dan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 ini.