PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil berpuas hati dan gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan semua pemainnya ketika membenam Sabah FC 3-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa RCTI Premium Sports di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) pada Khamis.
Kemenangan itu melayakkan Gergasi Merah ke perlawanan akhir kejohanan Derbi Serumpun dan akan bertemu Persija Jakarta yang menewaskan PSIS Semarang dalam satu lagi perlawanan di stadium yang sama.
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Nidzam mengakui pasukannya bernasib baik sekali lagi tetapi ianya bergantung kepada usaha yang dilakukan ketika sesi latihan dengan kesemua pemain berjaya melaksanakan apa yang diarahkan.
“Dengan hanya empat pemain sahaja yang dikekalkan dari perlawanan liga sebelum ini, saya gembira apabila semua pemain termasuk pemain muda berusia 18 dan 19 tahun berjaya membawa Selangor lolos ke final kejohanan ini.
“Sabah bermain baik pada babak kedua tetapi nasib menyebelahi kami dan nasib baik ini adalah hasil usaha yang kami lakukan dalam sesi latihan dan berjaya kami lakukan di dalam padang.
“Saya gembira kerana pada saya, bukan siapa yang memulakan perlawanan tetapi siapa yang mampu tamatkan perlawanan dengan keputusan yang bagus,” katanya.
Nidzam sejak dari awal memaklumkan bahawa dia mahu menggunakan kejohanan ini sebagai platform untuk memberikan ruang kepada pemain-pemain yang tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Liga Super untuk mendapatkan minit permainan serta menimba pengalaman.
Dia juga secara peribadi memilih untuk bertemu Persija Jakarta di perlawanan akhir kerana mahu satu aksi kompetitif buat anak-anak buahnya selain mengembalikan nostalgia antara kedua-dua pasukan dan negara.
Gol-gol daripada Aliff Haiqal Lau dan Yohandry Orozco serta gol sendiri Park Tae-su memberikan kemenangan buat Selangor dan satu perlawanan akhir epik dijangka berlangsung pada Ahad.