BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui sedar pihak lawan menukar strategi tetapi malang buat mereka, tetap gagal memenangi mata.
Begitulah pengakhiran cabaran pasangan nombor 9 dunia itu di Terbuka Singapura, apabila tersingkir di suku akhir, selepas tunduk kepada pasangan nombor 4 dunia dari Korea Selatan, 14-21, 18-21 dalam masa 41 minit.
“Kami kecewa tak dapat masuk semi final… just to comeback stronger and win the up coming tournament,” kata Tang Jie kepada Persekutuan badminton Dunia (BWF), selepas perlawanan.
Tang Jie mengakui, kesilapan dilakukan mereka di set kedua menjadi punca kekalahan itu, terutamanya ketika mereka mendahului jauh, 12-7 dan 15-8, sebelum membiarkan lawan mengejar, memintas dan meraih kemenangan.
Pada aksi di Masters Malaysia minggu lalu, gandingan ini tersingkir di separuh akhir dan perkara itu mengundang rasa kecewa Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky terutamanya ketika diletakkan selaku pilihan utama kejohanan.
Minggu depan, Tang Jie-Ee Wei akan beraksi di Terbuka Indonesia, kejohanan bertaraf Super 1,000 yang bakal menjadi kejohanan pemanas badan terakhir menjelang saingan Sukan Olimpik Paris 2024.
Pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei tahun ini adalah muncul naib juara Masters Thailand (Februari) dan Terbuka Switzerland (Mac) dan kedua-dua kejohanan itu bertaraf Super 300.