BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sekali lagi tewas dalam pertarungan speed & power, ketika tersingkir dari Terbuka Singapura, pada Jumaat.
Bertembung dengan pasangan nombor 3 China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di peringkat suku akhir, prestasi ditunjukkan Sze Fei-Nur Izzuddin bertambah baik malah mempunyai peluang seimbang memenangi perlawanan.
Begitupun, pasangan negara yang berada di ranking ke-14 dunia itu, hilang fokus dan melakukan unforced error pada penghujung set penentuan, sekali gus membenarkan lawan yang berada di ranking ke-10 dunia, memenangi perlawanan dengan keputusan 21-16, 9-21, 21-17.
“Rentak perlawanan hari ini sangat pantas… ia bertunjangkan speed and power game, malangnya di penghujung, kami melakukan inforced error dan perkara itu menjadi punca kekalahan kali ini,” kata Sze Fei, mengenai kekalahan kedua mereka di tangan pasangan China, selepas kali terakhir bertemu pada saingan Piala Thomas baru-baru ini.
Justeru, Sze Fei berkata, mereka akan beraksi di Terbuka Indonesia minggu hadapan mempunyai masa untuk perbaiki permainan.
“Semuanya mengenai mentaliti, saya rasa kami perlu tingkatkan lagi tetapi kami dapati ada yang positif pada perlawnaan ini, selepas kalah set pertama kami bangkit memenangi set kedua.
“Saya akan tonton semula perlawanan dan berbincang dengan juurlatih, kami akan lihat apa yang boleh dipertingkatkan.”