SENARAI 23 orang pemain yang akan berlepas ke Incheon, Korea Selatan untuk perlawanan pembukaan Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Premier (ARC) 2024 telah diumumkan pada Jumaat.
Skuad bimbingan Mohd Farid Syazwan akan menghadapi tiga perlawanan sepanjang kempen kejohanan dan menyaksikan Korea Selatan sebagai pencabar utama yang akan ditemui pada Ahad.
Dalam senarai nama pemain yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), ragbi 15 sebelah kebangsaan akan menghadirkan gabungan pemain lama dan baharu seperti Syarif Nurhidayat Muzhaimey untuk mengemudi pasukan.
Pemain-pemain muda juga mendapat tempat dalam senarai 23 pemain ke Korea seperti pemain di posisi nombor 9 (scrum half), Razali Ramlan yang akan bermain di kempen ARC untuk kali yang kedua.
Mohd Fairuz Ab Rahman pula bakal menggalas tugas penting sebagai ketua pasukan Bunga Raya 15s dalam misi mencari kemenangan yang pertama di saingan ARC edisi kali ini.
Antara 23 senarai penuh pemain yang akan beraksi di ARC kali ini adalah Ahmad Zulhimi Azizad, Amirul Aiman Ihsan,Amirul Mukminin Amizan, Anwarul Hafiz Ahmad, Azam Fakhrullah, Harith El Iskandar, Mohamad Nasharuddin Ismail, Mohamad Syahmi Afiq Edan, Mohammad Azri Mohd Kamal, Mohd Daim Zainudin dan ketua pasukan Mohd Fairuz.
Selain itu, Mohd Nurazman Ramli, Mohd Shobrey Amok, Muhammad Abrar Zainuddin, Muhd Azwan Zuwairi, Muhd Sameer Muhd Sani, Muhd Zharif Affandi, Razali Ramlan, Samuel Rentap Anak Meran, Suhaikal Suhaimi, Syarif Nurhidayat, Zulkiflee Azmi dan Chapman Lee James.