PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mencatat masa terpantas di sesi kelayakan kategori CP150 Pusingan 3 Kejuaraan Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada Sabtu.

Namun,  Akid perlu berkerja keras untuk mencatat masa terpantas apabila sekadar menduduki tempat ketiga ketika sesi kelayakan pertama.

Sesi kelayakan pertama menyaksikan seorang lagi pelumba Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mencatat masa terpantas dengan catatan masa 1’17:169s.

Di tempat kedua adalah Kasma Daniel Kasmayudin dengan catatam masa 1’17:395s manakala Md Akid Aziz di tempat ketiga pada 1’17:734s.

Akid berjaya perbaiki catatan masanya pada sesi kelayakan kedua apabila mencatatkan masa 1’16:936s sekaligus meletakkannya di tempat pertama.

“Sepang ni memang perlumbaan yang sukar, sebab masing-masing boleh berada di depan, untuk catatan masa ini memang saya mampu melakukan masa terpantas tetapi jentera saya masih belum bersedia untuk berlumba, banyak lagi yang perlu diperbaiki.

“Saya pun tak berapa yakin lagi dengan jentera saya dan jika ia dalam keadaan sebegini semasa perlumbaan memang sangat mencabar, jadi banyak lagi yang perlu ditambahbaik,” kata Akid.

Berdasarkan keputusan yang digabungkan, Akid muncul terpantas dengan catatan 1’16:936s diikuti rakan sepasukannya, Afif pada 1’17:169s dan Kasma pada 1’17:395s.

Pelumba berusia 26 tahun itu menunjukkan prestasi baik untuk permulaan 2024, apabila muncul juara pusingan pertama di Jasin, Melaka pada 2 hingga 3 Mac dan Tangkak, Johor pada 4 hingga 5 Mei untuk mendahului kejuaraan dengan 50 mata.