SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) selesa mendahului kedudukan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 selepas mencatat 100 peratus kemenangan dari tujuh perlawanan pusingan pertama yang berakhir pada Ahad.

Kemenangan 4-1 keatas Kuala Lumpur City di Ortuseight Arena memastikan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia mendahului carta liga dengan kelebihan lima mata keatas pencabar utama yang juga penyandang juara, Pahang Rangers.

Selain mencatat tujuh kemenangan berturut-turut, JDT juga muncul pasukan paling sedikit dibolosi dengan sembilan tetapi rekod jaringan terbanyak dipegang oleh Pahang Rangers dengan 48 gol dari tujuh perlawanan termasuk 10 gol hasil kemenangan 10-0 keatas Terengganu.

Shah Alam City mempamerkan aksi luar biasa dengan menduduki tempat ketiga dengan pemain importnya, Isaias Filho berjaya mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 12 gol manakala juara edisi 2022, Selangor FC ditangga keempat yang dilihat sedikit bergelut musim ini.

Gombak TOT United dan Sabah FC pula menduduki tempat kelima dan keenam masing-masing dengan sembilan mata namun dibezakan satu perbezaan jaringan yang memperlihatkan kedua-dua pasukan masih bergelut mencari konsistensi dalam permainan.

Nasib kurang baik menimpa Terengganu dan Kuala Lumpur City apabila menduduki dua tangga terbawah dengan Terengganu hanya mendapat tiga mata hasil kemenangan pada perlawanan pertama manakala KL pula terpaksa akur tewas dalam kesemua tujuh perlawanan.

Isaias Filho muncul penjaring terbanyak pusingan pertama MPFL (kredit foto: Shah Alam City FC)

MPFL akan berehat seketika sebelum aksi pusingan kedua bermula dari 6 Julai hingga 18 Ogos di mana juara akan ditabalkan dengan JDT kini dilihat sebagai pasukan pilihan untuk muncul pemenang buat kali pertama.