KEJAYAAN muncul juara Kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta memberikan keyakinan tambahan buat Selangor FC untuk menghadapi kejohanan Piala FA dan baki saingan Liga Super selepas ini.

Selangor bergelar pemenang kejohanan jemputan antarabangsa itu selepas mengenepikan cabaran Persija Jakarta 1-0 dalam aksi final di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) pada Ahad hasil jaringan Alvin Fortes seawal minit ketiga perlawanan.

Pengendali pasukan, Nidzam Jamil mengakui banyak perkara positif yang diperolehi terutama kepada para pemain dan juga barisan kejurulatihan dan kini fokus mereka akan lebih terarah kepada pertandingan tempatan bermula dengan saingan Piala FA pada 15 Jun.

Nidzam Jamil dan Alvin Fortes ketika sidang media selepas perlawanan. (kredit foto: Selangor FC)

“Kami gembira kerana melalui kejohanan ini dengan baik walaupun ada satu dua kecederaan tetapi secara keseluruhan pemain yang kurang mendapat tempat dapat minit permainan dan pasukan mengekalkan sikap yang sama ketika di Liga Malaysia.

“Saya juga suka melihat apa yang ditunjukkan para pemain dalam dua perlawanan ini dan memenangi kejohanan ini adalah satu bonus sekali gus membina keyakinan buat pasukan untuk mengharungi Piala FA dan juga liga.

“Masih banyak perkara perlu ditambah baik tetapi kami berjaya kekalkan mentaliti kemenangan itu kerana perjalanan liga masih panjang tetapi suka kerana kejohanan ini beri peluang kepada pemain-pemain muda beraksi dan juga kepada barisan kejurulatihan untuk menambah baik pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jaringan tunggal Fortes beri kejuaraan buat Selangor FC (kredit foto: Selangor FC)

Dalam dua perlawanan, Selangor berjaya menewaskan Sabah FC 3-2 pada aksi pertama untuk layak ke final dan jaringan tunggal Fortes cukup untuk memberikan kejuaraan – trofi kedua musim ini selepas Selangor Asia Challenge Cup.

Selangor akan kembali fokus kepada kejohanan tempatan dengan Negeri Sembilan sekali lagi akan bertandang ke Kelana Jaya untuk saingan Piala FA sebelum melayan kunjungan Perak FC untuk aksi Liga Super pada 23 Jun di Stadium MBPJ.