KYLIAN Mbappe mengakui sangat gembira selepas diumumkan secara rasmi menyertai Real Madrid.
Mbappe yang kini masih terikat kontrak dengan Paris Saint-Germain berkata Madrid adalah kelab impiannya. Ini disahkan dengan memuat naiknya semasa kecil memakai jersi Madrid dan bergambar bersama legenda hidup Los Merengues, Cristiano Ronaldo.
“Impian menjadi kenyataan. Sangat gembira dan bangga menyertai kelab impian saya. Tiada siapa yang dapat memahami betapa terujanya saya sekarang,” tulis Mbappe di akaun Instagramnya.
“Tidak sabar untuk bertemu dengan anda, Madridistas, dan terima kasih atas sokongan anda yang luar biasa. Hala Madrid!”
Ketibaan Mbappe bermakna barisan serangan Madrid akan dipenuhi pemain berstatus bintang. Ini kerana pasukan Carlo Ancelotti sudah mempunyai Rodrygo, Vinicius Junior dan Jude Bellingham.
Terdahulu, Madrid secara rasmi mengumumkan perpindahan pada awal Selasa.
“Real Madrid dan Kylian Mbappe telah mencapai persetujuan di mana dia akan menjadi pemain Real Madrid untuk lima musim akan datang,” kata kenyataan Madrid di laman web rasmi kelab.
Mbappe akan menyertai Madrid secara percuma. Los Merengues tidak perlu membelanjakan dana pemindahan ke PSG kerana kontrak bintang Perancis itu bersama Les Parisiens akan tamat pada 30 Jun.
Keputusan Mbappe untuk menerima cadangan Madrid juga menamatkan saga perpindahan pemain itu dengan gergasi Sepanyol itu sejak beberapa tahun lalu.
Bekas pemain AS Monaco itu sangat hampir menyertai Madrid pada 2022, tetapi sebaliknya membuat keputusan mengejutkan untuk menyambung kontraknya di PSG.