KETUA jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon menyifatkan bahawa perlawanan esok menentang Kyrgyzstan merupakan perlawanan dalam situasi yang berbeza.

Turun tanpa beberapa tonggak utama yang tersisih akibat mengalami kecederaan, pengendali dari Korea Selatan itu masih lagi yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk menempuhi satu lagi cabaran hebat di Bishkek.

“Kami telah menjalani persiapan yang baik minggu lalu. Saya percaya semua pihak mempunyai keyakinan yang tinggi.

“Kami tidak sabar untuk menampilkan prestasi terbaik dan memberikan kemenangan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada Rabu.

Beliau juga mengakui dengan rekod Harimau Malaya yang kurang baik di laman lawan namun beliau optimis aksi ini bakal jadi berbeza daripada sebelumnya.

“Perlawanan tempat lawan sentiasa sukar bagi kami. Kami hampir menang juga. Tetapi ya, perlawanan esok sedikit berbeza kerana ini adalah perlawanan penentu bagi Malaysia.

“Sesiapa yang memenanginya akan layak ke kelompok 18 pasukan terbaik. Kami tahu perlawanan ini tidak mudah. Bermain di gelanggang lawan menentang Kyrgyzstan.

“Namun begitu, semua halangan ini tidak akan menghentikan langkah Malaysia kerana semangat juang dan keinginan pasukan amat tinggi,” tambahnya lagi.

Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada pukul 11 malam.

Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang Malaysia untuk mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.