MALAYSIA memiliki dua wakil beregu lelaki di peringkat suku akhir Terbuka Indonesia, selepas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun melepasi ranjau pusingan kedua, pada Khamis.
Corak permainan pantas dan memperbaiki tiga pukulan pertama pada setiap rali, menjadi punca dua gandingan negara ini mara lebih jauh, ketika pasangan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kecundang.
“Hari ini, permainan amat laju terutamanya pada pukulan pertama dan saya rasa kami memiliki kelebihan apabila membalas servis dengan pukulan berkualiti untuk memenangi perlawanan,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sejurus tamat perlawanan.
Pada perlawanan menentang wakil tuan rumah, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin itu, Sze Fei-Nur Izzuddin tunduk 16-21 di set pertama, bangkit memenangi perlawanan dengan keputusan 21-16, 21-12.
Di suku akhir, mereka menanti pemenang perlawanan antara Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) dan Liang Wei Keng-Wang Chang (China).
Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun pula mengatasi pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-18, 19-21, 21-12.
“Kami berjaya mengekalkan fokus dan berkomunikasi. Kami bermain secara bebas tanpa terikat, tidak memikirkan menang atau kalah.
“Layak ke suku akhir di kejohanan ini juga tidak pernah kami jangkakan,” kata Wei Chong, yang kali pertama mara ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 1,000.
Kemenangan itu membolehkan mereka berdepan pemain Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Han yang mengatasi Aaron-Wooi Yik.