PEMAIN naturalisasi negara, Lee Tuck telah membawa nama Malaysia ke persada dunia setelah berjaya melangkah ke final Hyrox World Championship di Perancis.

Perkara ini telah dikongsikan sendiri oleh pemain berusia 36 tahun di laman Instagramnya yang sekali gus kembali menjadi topik bualan dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Bekas pemain Terengganu FC itu dengan bangga melihatkan namanya bersama empat atlet lain yang akan bertarung mewakili Malaysia dalam pentas pentas final Hyrox World Championship 2024.

“Mewakili Malaysia dalam Hyrox World Championship. Nampaknya hanya kami berlima yang berjaya melangkah ke final, dan ini adalah pencapaian yang amat membanggakan,” menurutnya dalam kapsyen hantaran yang dimuat naik.

Terdahulu, Lee Tuck juga pernah menyertai kejohanan sama di Barcelona dan berjaya menggalas gelaran Juara Hyrox 2023-2024 dalam kategori umur 35-39 tahun.

Hyrox merupakan sebuah kejohanan yang menguji kecergasan atlet, di mana ia menggabungkan cabaran daripada segi larian dan cabaran fizikal lain. Peserta dikehendaki berlari sejauh 1 kilometer dari satu stesen ke stesen seterusnya.

Setiap kali tiba di stesen yang ditetapkan, peserta perlu melengkapkan cabaran tertentu sebelum mereka dapat meneruskan larian ke stesen berikutnya.

Cabaran-cabaran ini termasuk sled push, sled pull, burpee, farmers carry, dan wall balls, yang mana kesemuanya menguji ketahanan, kekuatan, serta tahap kecergasan keseluruhan para peserta.