PERLUMBAAN pertama pusingan ketiga dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), kategori Asia Superbike 1000cc menyaksikan pelumba dari TKKR Racing Team, Sho Nishimura muncul sebagai juara dan kukuhkan tempat teratas di podium.
Bagaimanapun, Sho tetap menyifatkan bahawa perlumbaan kali ini dianggap agak berbahaya dan mencabar kerana terpaksa melalui tumpahan minyak gara-gara terdapat kemalangan yang berlaku.
“Perlumbaan ini sangat mencabar, terutamanya disebabkan oleh keadaan berbahaya pada pusingan kedua perlumbaan, di mana saya terpaksa melalui tumpahan minyak.
“Walaupun terdapat halangan awal dan bendera merah dinaikkan, saya berjaya mencuri semula fokus dan memulakan perlumbaan dengan baik. Saya sangat gembira dapat meraih kemenangan dan saya bertekad untuk kekalkan usaha demi meraih kemenangan lagi dalam perlumbaan kedua,” ujar Sho selepas tamat perlumbaan pertama.
Di pusingan ketiga perlumbaan, berlakunya satu kemalangan yang melibatkan pertembungan antara Yuki dan Nakarin. Ini mengakibatkan bendera merah telah dikibarkan semasa perlumbaan berlangsung.
Selepas itu, perlumbaan menjadi lebih mendebarkan dan sengit serta melihatkan Hafizh Syahrin dari JDT Racing Team memimpin perlumbaan pada awalnya, namun Sho terus memberi tekanan kepada Hafizh dan berjaya memintasnya pada pusingan keempat.
Sho akhirnya berjaya mengekalkan posisi terbaik dan memecut melepasi garisan penamat dengan masa 16’44:222s untuk meraih podium pertama.
Tempat kedua disusuli oleh Nakarin yang menamatkan perlumbaan dengan rekod masa selama 16’44:314s, manakala Hafizh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 16’44:803s dan terpaksa akur mengambil podium ketiga perlumbaan.