PASUKAN dari pantai timur, Terengganu FC mengumumkan XFOX Market Holdings Sdn Bhd  sebagai penaja utama kelab itu bagi saingan Asean Club Championship Shoppe Cup 2024-2025.

Pengumuman itu dibuat menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan syarikat itu di Pejabat Pengurusan Terengganu FC semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC, Hishamuddin Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif XFOX Market Holdings, Datuk Suraya Semaru serta  golongan ternama dan pemain-pemain Terengganu FC.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu, syarikat XFOX Market Holdings akan menjadi platinum sponsor ketika saingan Asean Club Championship Shoppe Cup 2024-2025 berlangsung.

“Pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn dan Syarikat XFOX Market Holdings Sdn Bhd telah bersetuju untuk Menandatangani Memorandum Persefahaman Penajaan Musim ini bagi ‘Platinum Sponsor’ untuk Asean Championship Club Shopee Cup 2024/2025

“Pihak syarikat bersetuju untuk menaja TFCSB secara tunai sebanyak RM1,500,000 selama tempoh kejohanan itu dilangsungkan.

“Pihak TFCSB juga bersetuju bagi meletakkan logo syarikat XFOX Market Holdings Sdn Bhd pada jersi rasmi Terengganu FC bagi kejohanan ACC Shoppe Cup 2024/2025,” menurut kelab menerusi kenyataan media.

Kerjasama ini dilihat dapat mengukuhkan lagi kewangan pasukan skuad Penyu bagi menghadapi musim bola sepak yang panjang, dengan kedengaran beberapa kelab lain mula untuk mengalami kesulitan dari segi kewangan.