PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mempercayai kekuatan yang ada pada anak buahnya untuk mendapatkan jurang jaringan yang besar pada perlawanan akhir Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei pada Selasa.

Perlawanan sengit yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu akan memberi satu debaran buat penyokong-penyokong Malaysia dan juga para jurulatih skuad Harimau Malaya sendiri, untuk membuktikan kekuatan pasukan ketika beraksi di khalayak pemain ke-12.

Pan-gon juga masih mempunyai keyakinan yang teguh terhadap anak buahnya untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh gol pada aksi akhir kelayakan Kumpulan D, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan yang selesa untuk mara ke pusingan Piala Dunia 2026 seterusnya.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Chinese Taipei pada esok 9 malam.

“Kita seri bersama Kyrgyztan pada aksi lalu, jadi kali ini kita perlu maksimumkan skor dan selamatkan Malaysia dengan mencipta sekurang-kurangnya tujuh gol.

“Saya percaya apabila bermain di SNBJ dengan aura semangat dan positif daripada penyokong, Ultras Malaya, jadi ia menjadi satu faktor yang sukar buat pihak lawan. Saya berharpa agar penyokong memenuhkan stadium pada hari esok,” ujarnya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Ketika ditanya mengenai pendapat jurulatih Chinese Taipei, Gary White yang ingin mendapatkan kemenangan pertama menentang Harimau Malaya dalam perlawanan akhir Kumpulan D, Pan Gon tidak gentar akan keyakinannya itu.

Menurutnya, sudah menjadi perkara biasa untuk setiap jurulatih menginginkan kemenangan sama ada di gelanggang sendiri atau di gelanggang pihak lawan.

Kim Pan-gon ketika di sesi sidang media pra perlawanan Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Sudah tentu menjadi idaman semua jurulatih untuk menang, tetapi realiti untuk mereka, agak sukar untuk menang di sini dengan aura penyokong kita yang menggerunkan. Kita akan beri saingan sepenuhnya terhadap mereka.

“Mungkin bagi mereka, mereka hanya berharap untuk mengalahkan Malaysia sahaja dalam Kumpulan D, tetapi kita masih ada harapan untuk terus beri tentangan sengit kepada mereka pada perlawanan esok,” tambahnya.

Malaysia mempunyai satu lagi perhitungan sengit dan misi untuk mendapatkan minimum tujuh gol berdepan Chinese Taipei pada perlawanan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Selasa, 9 malam untuk melangkah ke Piala Asia 2027.