JENAMA baju sukan tempatan, Cheetah Malaysia mengambil langkah drastik dalam memerangi jualan barangan tiruan.
Cheetah Malaysia, sebuah syarikat fesyen terkemuka yang menghasilkan jersi pasukan Perak FC, telah meningkatkan usaha mereka dalam memerangi barangan tiruan.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan, peningkatan jual beli atas talian dan permintaan serta penghasilan produk tiruan mendorong Cheetah mengambil tindakan tegas dengan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk mengenal pasti dan membongkar operasi cetak rompak.
“Cheetah, dalam taklimat secara kolektif bersama pegawaikanan daripada KPDN Selangor dan Perak FC, berkata dengan berkongsi maklumat dan kerjasama dengan pihak berkuasa, syarikat itu berhasrat untuk mengekang perdagangan barangan tiruan.
“Cheetah sedang mempergiatkan usahanya untuk mengesan dan mencegah barangan tiruan, memantau secara aktif di pasaran atas talian, platform media sosial serta bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha.
“Syarikat itu juga telah mendapatkan khidmat peguam untuk membawa pesalah ke muka pengadilan dan melindungi hak harta inteleknya. TraX, kod QR unik yang telah ditampal di setiap jersi oleh Cheetah memastikan pelanggan membeli dan mendapatkan barangan yang tulen,” kata Cheetah dalam siaran media itu.
Cheetah juga percaya bahawa pengguna yang berpengetahuan lebih bersedia untuk mengenal pasti produk tulen dan mereka sedang merancang untuk melancarkan kempen pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko yang berkaitan dengan barangan tiruan dan memberikan petua tentang cara mengesannya.
Pengguna juga digalakkan untuk melaporkan sebarang produk yang mencurigakan yang mengandungi label Cheetah kepada khidmat pelanggan syarikat atau melalui laman web rasminya.