KETUA jurulatih Chinese Taipei, Gary White optimis dapat melakar sejarah kemenangan dalam Aksi Akhir Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Malaysia pada Selasa..

Jurulatih berusia 49 tahun itu sekali gus menegaskan bahawa beliau akan membuktikan kekuatan anak buahnya dalam melumpuhkan misi wajib menang Malaysia ketika beraksi di padang sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Meskipun beliau gagal memberi cabaran dalam kesemua lima perlawanan sebelum ini, Gary masih bersandarkan keyakinan terhadap kemampuan pemain-pemain mudanya untuk melakukan aksi cemerlang di hadapan penonton Harimau Malaya.

Gary White, pengendali Chinese Taipei ditemui di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.

“Objektif kami jelas iaitu untuk menang. Keinginan kami sangat kuat juga untuk mendapatkan mata pada saingan kali ini supaya kami boleh terus melangkah ke hadapan.

“Walaupun kami kehilangan beberapa pemain, tetapi secara keseluruhan kami mempunyai skuad yang sudah mempersiapkan mental dan fizikal. Mereka bersemangat tinggi untuk datang ke Malaysia dan menang, itu perkara yang jelas,” ujarnya ketika ditemui di Wisma FAM, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama,  The Blue Wings  juga enggan memikirkan mengenai kekalahan yang mungkin akan menimpa pasukan mereka, akibat kebangkitan luar biasa yang akan dilakukan oleh skuad bimbingan Kim Pan Gon.

Chinese Taipei yakin dapat meranapkan misi menang Malaysia.

“Anda boleh bertanya kepada Pan-gon sendiri mengenai bermain bersama pasukan saya. Ianya satu perkara yang tidak mudah kerana kami juga tidak akan menyerah kalah. Kami datang ke sini untuk menang dan berikan hasil terbaik pada aksi akhir kelayakan ini.

“Saya tidak ingin membahas lebih mengenai siapa yang akan menang dan kalah, tetapi kami sangat serius dengan apa yang kami akan persembahkan,” tambah Gary.