HASRAT tidak kesampaian untuk melihat pasukan berjaya mencipta sejarah kemenangan di bumi Malaysia dan ketua jurulatih Chinese Taipei, Gary White akur akan kekalahan 1-3 yang menimpa skuadnya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Menurut jurulatih kelahiran England itu, kehadiran pemain-pemain muda dan berpengalaman yang diharapkan dapat memberi saingan sengit kepada Harimau Malaya itu telah meranapkan impian Chinese Taipei untuk melakar kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan D.
Namun, Gary tetap berpuas hati akan aksi yang berlangsung selama 90 minit (enam minit masa tambahan), dan mengakui bahawa anak buahnya telah menampilkan semangat juang yang tinggi sepanjang berada di atas padang.
“Malaysia ada pemain dan jurulatih yang sangat bercita-cita tinggi. Pemain kami juga menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika bermain, dan gol terakhir Malaysia adalah tidak dijangka tetapi ia satu perlawanan yang cukup baik.
“Kita menghabiskan babak pertama 1-0, sepatutnya 2-0 tetapi perbezaan kualiti memisahkan. Keinginan mereka juga tinggi dan menunjukkan karakter sebenar, ini satu persaingan yang hebat.
“Kami sudah merangka taktikal dengan baik kerana Malaysia pasti akan menyerang habis-habisan. Semuanya sudah dirancang dan sepatutnya menjaringkan 5-6 lagi gol menentang Harimau Malaya.
“Ia sebahagian daripada perancangan untuk dapatkan pemain warisan berkualiti dari Jepun dan Amerika Syarikat seperti yang dilakukan oleh Malaysia, tidak mahu seseorang yang tiada semangat nasionalisme,” ujar Gary selepas tamat perlawanan pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Gary turut meluahkan harapannya agar dapat berjumpa dengan Malaysia sekali lagi, pada aksi Kelayakan Piala Asia akan datang untuk membuktikan kekuatan ‘sebenar’ pasukannya selepas menilai beberapa kekurangan yang sering dilakukan.
Terdahulu, perlawanan akhir Kumpulan D Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 telah menyaksikan Malaysia berjaya menjulang kemenangan 3-1 di laman sendiri, dan menamatkan saingan dengan 10 mata daripada enam perlawanan, mnakala Chinese Taipei pulang tanpa sebarang mata.