KEJOHANAN Tour de Maurice edisi ke-43 menyaksikan pelumba berpengalaman dari Terengganu Cycling Team, Harrif Salleh, kembali ke arena perlumbaan dengan penuh semangat.
Selepas lama tidak berlumba, Harrif akui menghadapi cabaran yang mendebarkan pada peringkat kedua perlumbaan ini yang bermula dari 11 Jun hingga 14 Jun 2024 di Mauritius.
“Alhamdulillah selesai untuk peringkat dua Tour de Maurice. Fuh, lama tak jelajah perlumbaan ni sampai kekejangan peha-peha nak habiskan perlumbaan dalam kelompok.
“Jalan dia boleh tahan lasak, bukit dan angin yang kuat di setiap penjuru. Untuk pecut intermediate pertama, saya berjaya mengambil tempat pertama tadi,” katanya selepas perlumbaan.
Kepuasan jelas terpancar di wajahnya setelah berjaya mengungguli intermediate sprint pertama.
“Rasa gembira juga dapat rasa balik untuk sprint saya,” tambahnya, menekankan betapa mencabarnya laluan perlumbaan di sini.
“Memang laluan race kat sini lasak, jadi sasaran saya untuk habiskan perlumbaan dulu dan Insya-Allah jikalau ada peluang, pada beberapa peringkat sampai sprint, saya akan buat yang terbaik. Langkah demi langkah, lebih banyak akan hadir,” kata Harrif atau terkenal dengan nama panggilan ‘Mamat’.
Semoga beliau terus cemerlang dalam perlumbaan-perlumbaan seterusnya dan membawa pulang kejayaan untuk Terengganu Cycling Team yang turut disertai Shahmir Aiman, Andreas Miltiadis, Youcef Reguigui dan Zuladri Amin Zulkurnain.
Dikelaskan sebagai UCI 2.2 dalam Jelajah Afrika, perlumbaan itu akan meliputi sejauh 411 kilometer merentasi kawasan indah di sekitar negara pulau itu.
Kemudian perlumbaan diteruskan dengan Courts Mammouth Classic of Mauritius (UCI 1.2) pada 16 Jun, meliputi 140.7 kilometer.
Pasukan itu meraih kemenangan tahun lalu dengan penyudah yang menakjubkan oleh Youcef Reguigui.