KETUA jurulatih PDRM FC, P Maniam menyatakan bahawa beliau tidak memandang rendah terhadap kemampuan pasukan Liga A1 Semi Pro, Malaysian University Football Team.

Sebaliknya, Maniam memang mahu memberi peluang kepada pemain-pemain muda dan pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan mereka untuk bermain.

Beliau berkata demikian selepas The Cops kalah mengejut kepada pasukan Malaysian University FT dengan keputusan 3-0 dalam aksi pusingan pertama Piala FA.

“Untuk perlawanan malam ini (semalam), memang kami ingin memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan dan pemain skuad Piala MFL untuk mencari pemain pelapis yang mungkin boleh diserapkan ke dalam skuad Liga Super.

“Pihak pengurusan ada memberitahu saya jikalau dapat mencari pemain muda yang ada potensi, kita akan serap dalam pasukan utama supaya mereka ini faham dengan permainan di pentas liga teratas Liga Malaysia.

“Saya dapat melihat ada seorang atau dua pemain yang ada potensi dan kualiti itu dan kita mahu memberikan mereka peluang lagi apabila bertemu Kelantan Darul Naim FC nanti,” katanya selepas perlawanan.

Sebelum itu, The University Tigers berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA selepas jaringan daripada Asri Muhammad, Hadi Mohamad dan Muhammad Zharif Nazhan Refli membantu pasukan itu mencipta sejarah baharu, menjadi pasukan pertama dari Liga A1 untuk bermain di suku akhir.

“Ia bukanlah satu perlawanan yang senang walaupun bermain menentang pasukan berstatus semi pro. Pemain saya hilang fokus pada 10-15 minit yang pertama dan Malaysian University menghukum kami dengan dua gol,” ujarnya lagi.

Malaysian University akan berpeluang untuk bertemu Johor Darul Ta’zim FC pada aksi suku akhir Piala FA, jika JDT mampu untuk menewaskan pasukan Kelantan Darul Naim FC pada Sabtu ini.