MENJADI tanggungjawab Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menilai prestasi dan kualiti pemain-pemain warisan yang berada di luar negara, termasuk di bumi Eropah untuk dibawa masuk dan menjadi tonik buat Harimau Malaya menjelang Kelayakan Piala Asia 2027.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu perkara tersebut selepas ditanya mengenai sesi merekrut pemain-pemain warisan untuk bersama skuad kebangsaan negara.

Menurut Noor Azman, pihak FAM telah menyerahkan segalanya kepada pihak kejurulatihan terutama Kim Pan-gon mengenai pengambilan pemain warisan ini.

“Untuk pemilihan pemain warisan, kita serahkan kepada Ketua Jurulatih dan barisan kejurulatihan untuk membuat penilaian.

Dion Cools antara pemain warisan yang bermain buat Harimau Malaya.

“Selepas melakukan penilaian, barisan kejurulatihan akan serahkan kepada kita (FAM) untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Ke-11.

Antara perkara lain yang telah diulas semasa mesyuarat tersebut, Noor Azman mendedahkan bahawa pihak FAM dalam usaha untuk mendapatkan pasukan di ranking terbaik bagi menyertai aksi persahabatan yang akan dijalankan selepas tamat Pestabola Merdeka 2024.

Menurutnya, ia bertujuan bagi memastikan Malaysia dapat menaikkan lagi ranking FIFA dan seterusnya merealisasikan impian Pan Gon untuk melihat Harimau Malaya naik ke Pot 1 bersama negara-negara besar lain menjelang Kelayakan Piala Asia yang berlangsung Mac hadapan.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Pestabola Merdeka 2024 akan kembali merancakkan arena bola sepak negara dengan pertembungan empat buah pasukan yang dijangka bermula pada bulan September nanti.