LIMA kali berada dalam senarai calon, jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah akhirnya boleh bersara dengan hati terbuka, selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023, sebentar tadi.

Syarul Azman, 51, dengan sapaan Mike, mengetepikan empat lagi calon akhir iaitu atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil; Ng Eain Yow (skuasy); Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Pemilihan Syarul Azman kali ini dibuat berdasarkan pencapaiannya yang muncul juara dunia kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November tahun lalu.

Mike yang mengumumkan persaraannya pada Mac lalu, menjadi atlet bina badan ketiga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.

Malek Noor dinobatkan sebagai Olahragawan pada 1986 manakala Sazali yang juga juara dunia 10 kali memenanginya empat kali, pada 2000, 2006, 2013 dan 2014.

Mike menyifatkan pencapaian kali ini melengkapkan kerjayanya sebagai seorang atlet selepas menanti sekian lama untuk bergelar Olahragawan Kebangsaan.

“Saya memang tidak pernah terfikir untuk memenangi anugerah ini ketika muda. Saya rasakan ia pencapaian yang sukar untuk dicapai.

“Apabila kali pertama disenaraikan sebagai calon akhir pada 2016, saya sudah anggap ia satu pengiktirafan yang besar.

“Cuma selepas dicalonkan beberapa kali selepas itu, baru saya terfikir mengapa tidak saya memenanginya. Saya bekerja keras untuk mendominasi sukan ini dan apabila berjaya merangkul anugerah ini, sukar saya gambarkan dengan kata-kata.

“Saya boleh cakap, kerjaya saya sebagai atlet sudah lengkap. Kejayaan ini membuktikan atlet daripada sukan yang kurang popular seperti bina badan mampu menjadi juara dunia dan memenangi Olahragawan Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menetapi ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 sekali gus empat lagi pencabarnya termasuk ratu skuasy, S Sivasangari.

Turut berada dalam senarai pencalonan akhir adalah atlet muay thai, Nur Amisha Azrilrizal, Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu.

Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Datuk Shalin Zulkifli pada 2002.

Jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik, manakala Olahragawati Paralimpik disandang Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) daripada sukan berbasikal trek para.

Majlis anugerah turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.