WANG besar berjumlah kira-kira RM2 juta, diperlukan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mempersiapkan pasukan hoki dalam lelaki, melakukan persiapan ke Piala Dunia 2025, tahun hadapan.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau akan membawa usul itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi mendapatkan dana, selepas pasukan hoki lelaki dalam dewan negara layak ke Piala Dunia buat kali pertama.
Subahan pada Majlis Meraikan Pasukan Hoki dalam Dewan lelaki dan wanita di sini hari ini berkata, jumlah berkenaan merangkumi kos latihan dan kejohanan buat pasukan di luar negara sebelum ke Croatia.
“Untuk hoki dalam dewan, menang tiada peruntukan khas untuk mereka, malah mereka juga tiada tempat latihan yang khusus.
“KHM kini berusaha menyediakan tempat latihan khas dan akan cuba mendapatkannya sebelum hujung tahun ini.
“Lokasi kita sudah temui iaitu mungkin di Bukit Jalil dan saya akan berjumpa untuk berbincang dengan menteri dan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) dalam masa terdekat ini,” katanya.
Pasukan hoki dalam dewan lelaki layak ke Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia dari 3 hingga 9 Februari tahun depan selepas muncul naib juara Piala Asia baru-baru ini.
Katanya, jumlah dana terbabit bukan kos menyertai Piala Dunia di Croatia semata-mata, malah merangkumi persediaan untuk kedua-dua pasukan (lelaki dan wanita) menghadapi temasya Sukan Sea di Thailand tahun hadapan, ketika KHM menyasarkan dua emas.
Pada majlis berkenaan, pasukan lelaki yang berjaya muncul naib juara Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan bulan lalu, meraih insentif wang tunai berjumlah RM5,000 setiap seorang.
Manakala skuad hoki wanita negara menamatkan kempen Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2024 di tempat ketiga di Chonburi, Thailand menerima RM2,500.
Setakat ini, selain Croatia selaku tuan rumah, enam pasukan dari benua Eropah dan Pan Amerika sudah melayakkan diri ke Piala Dunia yang dianjurkan empat tahun sekali sejak 2003.
Enam pasukan berkenaan adalah Austria, Jerman, Poland dan Belgium (Eropah), Argentina dan Trinidad and Tobago.
Walaupun muncul juara pada 2022, skuad negara tidak layak beraksi pada Piala Dunia tahun lalu kerana slot itu diberikan kepada Iran selaku juara Piala Asia 2019 selepas Piala Dunia 2022 dibatalkan akibat pandemik Covid-19.