KEJAYAAN menang tanpa bolos yang diraih oleh pasukan Selangor FC telah berjaya membawa mereka ke peringkat suku akhir kempen Piala FA 2024-2025, menewaskan Negeri Sembilan FC 4-0 pada petang Sabtu.

Menarik lagi, dengan kehadiran Faisal Halim ke Stadium MBPJ bagi menonton aksi perlawanan tersebut, ia semestinya menjadi tonik semangat buat rakan sepasukan lain untuk mencipta jaringan sebanyak mana yang boleh buat Selangor FC.

Pemain The Red Giants, Yohandry Jose Orozco Cujia tampil membuka tirai jaringan dengan melakukan sepakan terus ke gawang gol Negeri Sembilan FC seawal minit ketujuh, sekali gus memberi kelegaan buat Selangor FC.

Selangor FC menang 4-0 di Stadium MBPJ.

Tidak cukup dengan satu jaringan, Orozco terus mencuri peluang disebalik kelalaian pasukan pelawat dengan satu sepakan mudah menumpaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Syahmi Adib Haikal pada minit ke-15 perlawanan, sejurus menjadikan keputusan 2-0.

Ketika ini, moral pemain Negeri Sembilan FC diharapkan kekal kuat kerana sudah dibolosi dua gol, dan dapat dilihat semangat juang anak buah Azzmi Aziz itu masih belum terpadam walaupun diasak bertubi-tubi oleh pemain Selangor FC.

Kehampaan terus menyelubungi Negeri Sembilan FC apabila jaringan ketiga telah diraih oleh Selangor FC menerusi rembatan Alvin Fortes pada minit ke-45 perlawanan separuh masa pertama.

Bapa-bapa pemain Selangor FC iringi mereka ke padang sempena Hari Bapa.

Sambung babak kedua, Alvin tampaknya semakin bersungguh untuk mendapatkan jaringan keempat buat Selangor FC, dan percubaan sepakan yang dilakukan ke gawang Negeri Sembilan FC telah berjaya menumpaskan Syahmi, pada minit ke-66 perlawanan.

Keputusan 4-0 kekal hingga minit ke-90, dan menyaksikan Negeri Sembilan FC pulang ke ‘rumah’ tanpa sebarang jaringan yang berjaya dilakukan.

Dengan kemenangan Selangor FC ini, mereka sekali gus telah mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir Piala FA 2024-2025, bertemu dengan pasukan Kuching City FC kelak.