PENGANJURAN Badminton Tertutup Kuala Lumpur (KL Closed) Jejak Juara 2024 berjaya mencapai objektif dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam arena badminton negara.

Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur KLBA, Datuk Sri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunos menjelaskan, meskipun kejohanan dilangsungkan dalam tempoh masa yang pendek, namun kemeriahan dalam setiap aspek tetap dirasai.

Beliau turut meletakkan harapan yang tinggi kepada pelajar pelajar yang terpilih ke Pusat Latihan Daerah (PLD) untuk membuktikan kemampuan serta potensi mereka.

“Memasuki tahun kedua penganjuran, KL Closed kali ini mencatatkan hampir 2,600 penyertaan meskipun tidak dapat menyamai rekod tahun lepas iaitu 3,500 penyertaan yang berjaya memecahkan Malaysia Book of Records.

“Kejohanan ini jelas menunjukkan minat mendalam pelajar-pelajar terhadap sukan badminton meskipun jumlah hari pertandingan singkat.

Saingan badminton Terbuka KL Jejak Juara 2024.

“Kepada pelajar-pelajar yang telah terpilih untuk menyertai empat Pusat Latihan Daerah KLBA serta ke Pasukan Elit KLBA, selamat maju jaya diucapkan. Ayuh kita ramaikan lagi Leong Jun Hao, Justin Hoh, Fazriq Razif, Shevon Lai dan Soh Wooi Yik di Kuala Lumpur,” kata Dr Jahaberdeen.

Tambah beliau yang juga Timbalan Presiden II Persatuan Badminton Malaysia (BAM), penglibatan para penaja yang sentiasa memberi sokongan kepada KLBA untuk meneruskan misi melahirkan bakat bakat baharu dalam sukan badminton menerusi inisiatif Program Jejak Juara 2022-2027 sangat dihargai.

Enam kategori dipertandingkan melibatkan umur tujuh hingga 18 tahun. Aksi final perseorangan lelaki 18 tahun menyaksikan pemain KLBA, Erfan Hajibeigy muncul juara manakala Alysha Jeffrey mengungguli saingan perseorangan perempuan 18 tahun.

Projek Jejak Juara dirangka untuk tempoh lima tahun mensasarkan pelajar-pelajar seawal usia tujuah tahun di 294 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Lumpur.

Projek ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL).