KEKALAHAN 0-4 kepada Selangor FC sungguh mengecewakan Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Aziz yang mengharapkan prestasi anak buahnya kian melonjak untuk perlawanan tersebut.

Bekas jurulatih PDRM FC itu menyifatkan bahawa kesilapan pemain sendiri telah menghukum pasukan dengan keputusan ‘malang’ itu, dan menafikan masalah sistem atau formasi menjadi faktor sesebuah kekalahan.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan terpaksa akur juga kerana tidak dapat melayakkan pasukan ke pusingan suku akhir Piala FA 2024-2025, apabila ‘dibantai’ oleh dua jaringan Yohandry Orozco dan dua lagi daripada Alvin Fortes.

“Sejujurnya saya sangat kecewa, terutama pada aksi separuh masa pertama. Perlawanan itu tidak cukup kuat, mereka tidak persembahkan aksi yang lebih baik dan apa yang kita jangka seperti mana kita persiapkan pasukan untuk perlawanan ini. Jadi saya cukup rasa tidak seronok.

Azzmi Aziz, Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC.

“Pasukan Selangor juga kita akui daripada awal mereka beraksi dengan cukup baik, mereka juga sebuah pasukan hebat selepas JDT. Apa-apa pun kita akan fokus semula untuk aksi selepas ini.

“Setakat ini, kita faham segalanya bukan faktor formasi kerana akhirnya kesilapan individu, kesungguhan untuk menang bola adalah punca yang sebenar. Bukan sistem yang bermasalah tetapi diri sendiri.

“Jadi mereka perlu jadi lebih matang selepas ini dalam setiap perlawanan. Namun kita juga perlu jadi realistik juga dalam segala apa yang kita lakukan,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan pada Sabtu.

Tidak dinafikan, momentum pemain NSFC semestinya merundum selepas dua gol awal daripada dua wira Selangor FC itu muncul, sekali gus menerima asakan bertubi-tubi daripada pasukan The Red Giants.